Motivasi Hidup - 3 Langkah Asas Bagaimana Untuk Berfikiran Positif Yang Bukan Dari Buku Motivasi

motivasi-hidup-diri-blog-shueqry-abdullah-1-012.jpg
Motivasi Hidup - 8 Langkah Asas Bagaimana Untuk Berfikiran Positif | Berfikiran positif adalah bersangka baik. Orang yang selalu bersangka baik adalah orang yang berfikiran amat positif.

Dia tidak pernah marah dan tidak akan mahu marah kerana dalam fikirannya 100% positif.

Fikiran positif dipengaruhi secara langsung oleh emosi positif. Emosi kita pula sebenarnya dipengaruhi oleh minda separa sedar.

Apa yang ada dalam minda separa sedar kita, itulah yang akan mempengaruhi emosi kita.

Apa yang ada dalam emosi kita, itulah yang akan mempengaruhi fikiran kita dan pemikiran kita, lantas mempengaruhi tindakan kita.

Dari pengalaman sendiri, saya berani berkata berfikiran positif sebenarnya SENANG.

Anda hanya perlu DISIPLIN.

Untuk ke arah itu, anda perlu ketahui langkah-langkah tertentu dan mengambil tindakan-tindakan tertentu.

Ikutinya dalam penerangan di bawah.

Cara Pertama - Mulakan Dari Diri Sendiri Terlebih Dahulu


Sentiasa berfikiran positif yakni sentiasa bersangka baik dalam apa jua keadaan merupakan satu sikap mulia.

Pada hari ini di zaman Facebook ini, sikap sebegini bagaikan sudah 'pupus' kerana hanya sedikit orang suka bersangka baik sepenuhnya dalam apa jua keadaan.

Kata orang, kalau jahat kita dipulaukan atau di'viral'kan (istilah Facebook) tetapi kalau kita baik, kita akan sering diperguna-gunakan pula kerana akan ada orang lain yang suka ambil kesempatan atas sikap baik kita.

Jadi, mahu jadi orang baik pun susah. Jadi orang jahat lagilah susah! Mahu buat yang macam mana?

Semuanya bergantung kepada apa yang anda mahu capai dan apa matlamat hidup anda. Jika anda mahu mencapai kemajuan dan mahu mencipta perubahan dalam hidup, anda perlu berfikiran positif dan bersangka baik selalu tanpa ada sangkaan-sangkaan buruk juga fikiran-fikiran buruk walau sedikitpun.

Inilah yang saya namakan sebagai DISIPLIN iaitu disiplin dalam menjaga fikiran.

Untuk memupuk sikap suka berfikiran positif dan sikap suka bersangka baik, mulakan dengan berdisiplin menjaga fikiraan yakni memantau apa yang anda selalu fikiran juga memerhati dalam diam apa yang anda banyak fikiran.

Apa yang anda fokuskan selalu dan cakapkan selalu sama ada cakap di mulut atau di dalam hati, itu jugalah yang akan mempengaruhi emosi anda lantas mempengaruhi fikiran anda yang akhirnya akan mempengaruhi tindakan anda.

Saya memahami hal ini dari pengalaman sendiri dan bukannya dari buku motivasi.

Tanggapan-tanggapan yang ada di fikiran kita akan mempengaruhi emosi kita. Jika anda dapati anda sedang berfikiran negatif, itu maknanya ada tanggapan-tanggapan negatif tersimpan jauh di kepala anda.

Anda mungkin telah bersangka buruk pada sesuatu situasi, sesuatu perkara, sesuatu benda atau bersangka buruk pada seseorang. Mungkin juga bercakap yang buruk-buruk mengenai seseorang dengan kawan-kawan anda atau anda menulis perkara-perkara buruk mengenai orang-orang yang anda tidak suka.

Untuk merubah diri menjadi seseorang yang amat berfikiran positif, buang fikiran-fikiran buruk dan elak berfikir hal-hal buruk mengenai seseorang, mengenai sesuatu situasi juga mengenai sesuatu perkara.

Jangan fikir yang buruk walau cuma sedikit kerana yang sedikit itulah akan menghancurkan usaha anda mahu menjadi orang berfikiran positif.

Mulai saat ini, pasanglah tekad mahu bersangka baik dan berfikiran positif sepanjang masa di manapun juga dan kepada sesiapapun jua. Anda boleh pupuk sikap suka bersangka baik dengan mula menghormati orang lain, memandang hikmah disebalik sesuatu peristiwa kemudian elak dari mengikuti liputan-liputan berita yang memaparkan hal-hal buruk serta kata-kata buruk seseorang kepada seseorang yang lain kerana ia akan mengakibatkan anda berfikira yang buruk serta beremosi buruk.

Anda tiba-tiba akan terasa sakit hati, geram ataupun simply tidak puas hati. Sikap itulah patut kita elakkan.

Cara Kedua - Suburkan Motivasi Sentiasa


Cara untuk menyuburkan motivasi amat mudah iaitu banyakkan membaca.

Anda boleh membaca artikel motivasi ketika sedang minum sarapan pagi. Anda boleh membaca kata-kata semangat ataupun kata-kata motivasi di Facebook Page yang anda ikuti juga dari blog-blog motivasi yang anda follow.

Ini samalah seperti anak pokok. Semakin kerap anda siram dan baja mengikut jadual maka semakin suburlah ia.

Begitu juga motivasi yang ada dalam minda kita juga di sanubari kita. Sebenarnya, kita patut suburkan motivasi itu sentiasa.

Kena sentiasa siram dan kena sentiasa baja mengikut jadual. Barulah kita sendiri merasa bermotivasi.

Dari pengalaman, cara saya untuk menyuburkan motivasi adalah dari handphone. Pada hari ini, kebanyakan dari kita menggunakan smartphone.

Saya suka simpan gambar kata-kata motivasi yang saya perolehi dari Instagram dan Facebook. Kata-kata motivasi dan kata-kata semangat itu saya simpan dalam satu folder khas di dalam smartphone saya kemudian saya lihat berkali-kali dalam sehari.

Apabila tahap motivasi saya menurun atau di kala kemalasan melanda, saya buka gambar-gambar motivasi itu kemudian tenung lalu fikir serta mengaitkannya dengan hidup sendiri.

Dari situ, saya mulai terasa ada dorongan. Tiba-tiba merasa bersemangat.

Anda perlu suburkan motivasi secara berdisiplin. Suburkan selalu dengan kerap membaca kata-kata motivasi, melihat kata-kata semangat kemudian dalam masa yang sama berdisiplin menjaga fikiran.

Hanya fikirkan yang baik-baik sahaja.

Pasanglah tekad hanya mahu fikiran dan cakapkan yang positif sahaja walaupun seburuk manapun keadaan dan seburuk manapun anda diperlakukan.

Hal ini mungkin sukar bagi anda.

Itulah sebabnya kenapa saya amat tekankan soal DISIPLIN dalam menjaga fikiran, DISIPLIN dalam menjaga kata-kata juga DISIPLIN menjaga apa yang ada di dalam hati.

Cara Ketiga - Tahan Dikomen Dan Dikritik


Bahagian inilah yang paling ramai orang 'give up' kerana kebanyakan dari kita tidak tahan dikomen juga tidak tahan dikritik.

Sedarilah hakikkat bahawa apabila anda cuba untuk menjadi orang baik dengan mula bersikap baik, berkata baik dan bersangka baik, akan ada orang lain disekeling anda yang merasa 'panas' dengan perubahan anda itu.

Oleh kerana merasa 'panas' serta sakit hati dengan perubahan anda, dia akan mengomen dan mengkritik.

Pada saat inilah anda perlu teguh dengan pendirian diri sendiri. Saya sudah lalui hal ini.

Satu ketika dulu, saya juga pernah 'down' apabila dikomen dan dikritik tapi saya tetap berdisiplin menjaga fikiran. Saya memilih untuk bersangka baik sentiasa dalam apa jua keadaan tidak kiralah apa jua yang orang lain kata.

Saya katakan pada diri saya, ini adalah hidup saya sendiri dan saya mempunyai kawalan penuh terhadapnya kerana saya sendirila yang akan merasai baik buruknya.

Jika baik, saya sendiri jugalah yang akan nikmati.

Jika buruk, saya sendiri jugalah yang akan menderitai.

Orang lain hanya cakap.

Orang lain hanya kritik.

Orang lain hanya kutuk.

Anda perlu disiplinkan diri. Tidak semua orang disekeliling kita faham dengan perubahan kita. Tidak semua orang menyokong perubahan kita bahkan lebih ramai lagi yang suka 'mengkondem' kita perkara itu menyeronkkan mereka.

Hidup ini adalah hidup anda maka corakkanlah ia mengikut adunan anda.

Anda lebih mudah untuk jadi orang berfikiran positif apabila anda ada MATLAMAT atau TARGET yang mahu anda capai.

Begitulah juga jika anda mahu jadi orang berjaya.

Seseorang yang mahu jadi orang berjaya adalah orang yang mahu mengecapi kesenangan dan nikmat menggenggam kejayaan supaya dia tidak perlu SUSAH lagi.

Oleh kerana itu, marilah kita sama-sama membentuk diri jadi orang yang mahu berjaya kerana perkara itu lebih bermakna buat hidup kita sekarang ini.

Sebagai akhir kata, motivasi dalam diri kita sebenarnya wujud cuma perlu disuburkan, disirami dan disinari.

Apabila motivasi dalam diri kita sudah subur, mudahlah untuk kita merasa bersemangat.

Pertama sekali anda perlu disiplinkan fikiran. Tekadlah mahu berfikir yang baik-baik sahaja dan yang positif-positif sahaja.

Elak marah. Elak sakit hati. Elak dengki.

Itu semua ibarat racun yang akan menghancurkan usaha mahu membina sikap berfikiran positif.

Jika marah, sakit hati dan dengkit itu ADA dalam hati anda walaupun cuma sedikit, maka akibatnya usaha untuk mahu membentuk diri jadi orang berfikiran positif akan musnah dalam sekelip mata.

Dari pengalaman, saya dapat fahami bahawa minda kita hanya dapat memuatkan satu emosi pada satu masa. Takkan ada emosi positif dan emosi negatif dalam masa yang sama.

Takkan ada ketawa dan duka dalam masa yang sama. Hanya satu emosi boleh kuasai fikiran kita dalam satu masa. Kita hanya boleh ketawa pada satu masa. Kita hanya boleh merasai duka pada satu masa.

Sebagai manusia biasa, kita cuma hanya akan boleh merasai satu emosi pada satu masa dan bukannya dua emosi pada satu masa seperti yang saya katakan tadi.

Oleh kerana itu, pilihlah emosi-emosi positif.

Apa dia? Cinta, kasih sayang, rasa kekitaan, minat mendalam (passion) dan keghairahan terhadap sesuatu (enthusiasm)

Anda yang saya kasihi. Saya menaip artikel ini berdasarkan pengalaman sebenar diri saya sendiri dan bukannya 100% berdasarkan buku motivasi.

Ya, saya baca buku motivasi tapi bukan semasa mahu menghasilkan artikel motivasi sebaliknya ketika mahu mencari suntikan motivasi kala emosi sedang 'down' ataupun ketika tahap motivasi saya menurun.

Saya juga insan biasa seperti anda. Punya emosi yang tidak menentu.

Namun, kita tetap mempunyai ruang untuk penambahbaikan diri secara berterusan. Saya juga terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa dari segi sikap, perbuatan, percakapan, pergaulan dan pemikiran.

Kenapa? Kerana saya punya matlamat yang mahu saya capai. Ini bukan sekadar cakap tapi saya benar-benar melaluinya.

I have a dream.

Jom kita motivasikan diri.

Ubah diri, bina peribadi.

Share: