Motivasi Hidup - 9 Cara Bagaimana Untuk Sentiasa Bersemangat

kata-kata-semangat-blog-motivasi-hidup-shueqry-1-915x931


Motivasi Hidup - 9 Cara Bagaimana Untuk Sentiasa Bersemangat | Sentiasa bersemangat bermaksud sentiasa ada motivasi dan bersentiasa bermotivasi.

Bagi saya, motivasi adalah dorongan untuk mencapai sesuatu atau kemahuan kuat untuk mencapai sesuatu.

Dari perspektif lain, motivasi juga merupakan kemahuan untuk mengelak dari sesuatu untuk tujuan survival seperti mahu menyelamatkan diri dari binatang buas ketika berada di dalam hutan, mahu menyelamatkan diri dari pergaduhan atau peperangan, motivasi boleh juga dorongan mahu menyelamatkan diri ketika rumah dipecah masuk serta dicerobohi.

Jika anda sentiasa bersemangat, itu maknanya anda bermotivasi.

Jika kurang bersemangat, maka maknanya kurang motivasi. Saya sendiri juga kadangkala bersemangat dan kadangkala kurang bersemangat tatkala emosi down.

Saya juga manusia. Punya emosi, punya hati dan punya naluri. Kadangkala OK. Kadangkala K.O sebab down.

Walau apapun jua, kita boleh memilih di mana kita berada. Kita boleh memilih sama ada sentiasa UP. Kita juga boleh memilih untuk sentiasa DOWN. Semua itu pilihan kita sebenarnya kerana kita sendiri yang membenarkannya.

Hal ini mudah untuk dikata tapi amat sukar untuk melaksanakannya. Dalam blog ini saya tidak mahu mengupas makna motivasi dari sudut ilmiah. Cukuplah sekadar perkongsian pengalaman sebenar dari hidup saya.

Dalam blog ini saya ceritakan bagaimana saya memperoleh motivasi dan bagaimana saya kekalkan motivasi.

Kadangkala, motivasi saya mengurang lalu hilang kerana saya juga manusia biasa. Tidak lari dari berbuat kesilapan.

Okay. Berbalik kita ke topik asal.

Sebenarnya terdapat langkah-langkah bagaimana untuk bersemangat dan kekal bersemangat sepanjang hari bermula dari saat anda bangun tidur sehingga kembali semula ke katil untuk tidur.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian dari langkah yang saya gunakan sendiri. Mungkin ada yang sesuai untuk anda, mungkin juga ada yang tidak sesuai dengan anda. Fahami langkah-langkah ini lalu aplikasikannya.

Rapat Dengan Orang Yang Selalu Memberi Anda Semangat.


Ini paling penting. Dalam menjalani hidup ini kita tetap akan memerlukan orang lain tidak kiralah siapapun dia.

Kita sukar untuk bersemangat jika hanya bersendirian. Rapatlah dengan orang yang selalu memberi anda semangat, yang selalu memberi kata-kata dorongan, selalu mengeluarkan gambar kata-kata semangat di Facebook atau Instagram juga orang yang sentiasa menyokong anda.

Orang itu mungkin ibu anda, adik beradik anda, rakan sekerja, kawan baik, teman rapat ataupun pasangan hidup anda. Berdamping rapat dengan orang yang selalu memberi anda semangat akan menjadikan anda sentiasa bersemangat kerana dia menjadi booster motivasi anda.

Selalu Baca Kata-kata Semangat


Dalam dunia zaman Facebook pada hari ini, majoriti daripada kita menggunakan Facebook setiap hari untuk mengetahui perkembangan terbaru juga untuk mengetahui maklumat-maklumat terbaru dari perkara-perkara yang diminati.

Saya juga begitu.

Pada satu ketika, oleh kerana terdesak mahu mencari inspirasi dan kata-kata semangat, saya cari laman-laman Facebook yang memaparkan kata-kata semangat. Kebanyakan dari laman-laman tersebut memaparkan gambar dan kata-kata semangat yang sungguh menginspirasikan.

Tatkala membacanya, motivasi membara-bara, naik berapi-api secara serta merta. Bacalah selalu kata-kata semangat supaya anda kekal bersemangat. Saya juga follow beberapa laman Facebook yang memberi saya kata-kata semangat. Paling utama adalah Facebook Irfan Khairi.

Saya follow Irfan Khairi sejak tahun 2006 lagi tatkala dia baru sahaja membuka blog miliknya pada awal tahun 2006.

Bayangkan Selalu Impian


Apa impian anda? Tahu ke tak tahu? Masih keliru apa impian anda? Jika begitu, cubalah tanya diri sendiri apa yang anda mahu miliki sekarang. Anda mungkin mahu memiliki smartphone model terbaru, kereta baru atau mungkin juga mahu membina bisnes sendiri.

Walau apapun ia, tetapkan satu perkara yang menjadi impian anda kemudian bayangkanlah ia selalu. Percayalah, dari pengalaman saya sendiri, setiap kali membayangkan impian, kita akan bersemangat.

Dalam kes saya, sehingga ke hari ini impian saya adalah bekerja sepenuh masa dari rumah tidak lebih 3 jam sehari. Pada hari ini disaat anda sedang membaca artikel ini, saya telah berjaya mencapai kerjaya impian saya iaitu sebagai Webmaster.

Tetapi, saya tidak berhenti di situ. Saya tetapkan lagi impian lagi kemudian berusaha mengejarnya untuk merealisasikannya, yakni untuk menjadikannya satu realiti di dunia sebenar.

Ada beberapa lagi impian saya, antaranya mahu menggunakan kereta idaman dan mahu menunaikan haji apabila sudah cukup wang simpanan. Impian-impian itu saya bayangkan setiap hari. Seolah-olah sudah berlaku sekarang. Menetapkan impian membuat saya bersemangat. Begitu juga anda.

Lukis Impian Anda


Sesetengah orang sukar membayakan apa impiannya. Ada solusi untuk masalah ini. Jika tidak dapat bayangkan, cubalah lukis impian anda itu!

Ambil sekeping kertas kosong kemudian lukislah impian-impian anda. Mulakan dengan barangan-barangan peribadi seperti laptop, handphone, kereta, motorsikal atau rumah. Lukis apa yang anda impikan.

Semasa melukis itu, anda akan merasa gembira kerana setiap kali memikirkan impian-impian itu, anda akan gembira. Apabila sudah gembira, anda akan bersemangat. Anda akan 'feel good'.

Cari Gambar Kemudian Lekat


Jika anda sukar untuk membayangkan selalu impian-impian anda bahkan sukar untuk melukis impian-impian anda sepertimana saya sarankan di atas tadi, kali ini cubalah cari gambar-gambar berkaitan dengan impian-impian anda.

Sebagai contoh, impian anda sekarang ini (pada November 2016) adalah mahu memiliki sebuah iPhone 7.

Ok, carilah gambar iPhone 7 kemudian gunting atau print kemudian letak di tempat yang anda boleh lihat selalu misalnya di dinding, di ruang desktop komputer anda atau mungkin juga jadikannya sebagai background picture di smartphone anda.

Mari kita ambil contoh lain pula. Jadikan kereta Hummer sebagai impian anda. Pergi cari gambar-gambar kereta Hummer di majalah lalu gunting dan letak di mana anda boleh lihat selalu gambar itu.

Paling tidak pun, cari gambar kereta Hummer H3 di internet kemudian cetak lalu lekat di dinding atau di pintu bilik tidur anda supaya anda boleh melihatnya selalu.

Anda boleh letak gambar impian-impian anda dengan cara ini walau apapun ia dan walaupun sebesar manapun ia.

Setiap kali anda terlihat gambar-gambar tersebut, anda akan bersemangat serta merta kerana impian-impian tersebut adalah benda-benda dan perkara-perkara yang anda mahu capai dalam hidup.

Niat Dalam Hati


Untuk menjadikan kita bersemangat pada keesokan harinya, niatlah pada waktu petang di hari sekarang ini. Sebagai contoh, mari kita tamsilkan hari ini adalah hari Ahad. Esok adalah hari Isnin dan anda mahu bersemangat sentiasa pada keesokan harinya.

Untuk memastikan anda benar-benar dapat bersemangat pada hari esok, nyatakanlah keinginan itu pada hari ini sama ada di waktu pagi, tengahari atau petang. Waktu petang dan malam adalah waktu mujarab kerana pada waktu-waktu itu, minda berada dalam keadaan relaks.

Mudah untuk minda menyerap kata-kata dalam hati yang anda tujukan buat diri anda sendiri. Anda boleh katakan niat tersebut dengan ayat ini iaitu "aku mahu bersemangat esok".

Anda boleh ubah sedikit lalu sesuaikan dengan mana yang anda selesa, seperti "esok, aku mahu jadi bersemangat" ataupun "aku mahu jadi amat bersemangat esok nanti".

Hampirkan Diri Dengan Alam


Bagi sesetengah orang, menghampirkan diri dengan alam semulajadi membuat dia merasa bersemangat.

Ada orang suka travel jauh-jauh ke tempat lain semata-mata untuk mencari inspirasi dan ketenangan fikiran.

Ada orang suka duduk di tepi tasik sambil melihat ketenangan air tasik itu kerana dia berasa amat tenang. Ada orang suka duduk di tepi air terjun kerana bunyi air terjun membuat dia merasa amat tenang.

Apabila sudah tenang, secara tidak semena-mena muncul semangat serta inspirasi.

Hampirkan Diri Dengan Allah swt


Bagi saya, cara inilah cara paling berkesan. Menghampirkan diri kepada Allah akan membuat hati kita amat tenang lantas bersemangat merubah hidup kerana kita capai sesuatu yang bermakna dalam hidup ini buat ibu bapa kita juga buat orang-orang disekeliling kita.

Menghampirkan diri kepada Allah membuat kita sedar peranan hidup. Setelah itu, berdampinglah selalu dengan orang-orang yang selalu menghampirkan diri dengan Allah juga yang selalu bermotivasi kerana anda akan turut 'terjangkit' dengan mereka. Anda juga akan berbuat hal yang sama.

Cara untuk kita mendekatkan diri pada Allah ada banyak. Kesemuanya bergantung kepada kita. Ada orang sentiasa berzikir kerana zikir-zikir itu membuat dia merasa dekat dengan Allah.

Ada orang suka membaca Al-Quran kerana dengan membaca Al-Quran, dia merasa dekat dengan Allah. Ada orang suka mendirikan solat-solat sunat kerana dengan bersolat, dia merasa dekat dengan Allah.

Ada banyak wasilah untuk anda mendekatkan diri pada Allah. Pilihlah satu yang selesa dengan diri anda kemudian amalkanlah selalu.

Dari pengalaman saya sendiri, menjaga sembahyang 5 waktu serta bersolat sunat di sepertiga malam memberi semangat kerana kita tekad untuk melakukan yang terbaik pada waktu siangnya.

Dari situ, timbul semngat untuk melakukan yang terbaik dalam setiap apa jua perkara kita laksanakan.

Tekad Buat Yang Terbaik


Lakukanlah yang terbaik. Whatever you do, choose to do your best. Tekad inilah yang banyak merubah saya. Tekad itu jugalah yang membuat saya mencapai apa yang saya mahu capai pada hari ini. Kini, saya usahakan sesuatu, buat sesuatu untuk mencapai sesuatu.

Saya ada impian. Saya ada matlamat. Saya akan lakukan apa sahaja cara halal untuk mencapai matlamat-matlamat saya itu.

Matlamat membuat kita mempunyai sesuatu untuk kita mahu capai. Matlamat membuat kita ada target, ada keinginan, ada azam.

Tekad melakukan yang terbaik membuat kita berusaha sehabis daya, sehabis baik, sehingga hasilnya benar-benar nampak.

Tekad inilah yang memacu kita ke hadapan kerana akan sering berhadapan dengan dua musuh utama di mana-mana sahaja dan bila-bila masa iaitu MALAS dan BERTANGGUH.

Jadi, lakukannya yang terbaik dalam apa jua anda laksanakan.

Jika anda menjadi pelajar, jadilah pelajar terbaik.

Jika anda menjadi suami, jadilah suami terbaik.

Jika anda menjadi isteri, jadilah isteri terbaik.

Jika anda mencintai seseorang, jadilah pencinta terbaik.

Jika anda menjadi pekerja, jadilah pekerja paling terbaik dikalangan pekerja-pekerja terbaik.

Jika anda hanya cleaner sekalipun, jadilah cleaner terbaik di kalangan cleaner-cleaner yang ada.

Saya juga memutuskan untuk melakukan yang terbaik dan menjadi yang terbaik.

Jom sama-sama kita jadi bersemangat.
Kongsikan Di: