Kata-kata Semangat - Lakukan Yang Terbaik

motivasi-hidup-diri-shueqry-abdullah-blog-1-kata-kata

Kata-kata Semangat - Lakukan Yang Terbaik | Dalam apa jua yang anda usahakan, usahakanlah yang terbaik.

Buatlah yang terbaik, palin baik dari usaha-usaha anda sebelum ini. Saya sendiri mengamalkan moto "buat yang terbaik" atau "do the best" dalam apa jua saya usahakan.

Seringkali apa yang kita usahakan bertemu kegagalan. Tetapi, kita masih ada peluang untuk berusaha lagi di lain kali. Peluang tetap akan ada selagi kita tekad mahu terus berusaha.

Anda yang saya kasihi. Saya bukanlah pakar motivasi bahkan tiada kelayakan apa-apa dalam bidang motivasi ataupun pembangunan diri. Saya cuma seorang lelaki yang bertekad mahu memajukan diri dalam kerjaya, kewangan dan kehidupan.

Sejak beberapa tahun lalu, saya sering mengalami kegagalan.

Pada tahun 2014, kegagalan paling besar dalam hidup saya adalah gagal memajukan blog kendalian saya (iAwani.com) ke tahap seterusnya.

Sebelum itu pada 2013, saya sudah gagal dengan blog motivasi kendalian saya sendiri iaitu iMotivasi.com.

Pada hari ini, kedua-dua blog itu telah di ambil alih oleh orang lain. Kedua-dua nama domain blog-blog tersebut telah dibeli oleh orang lain yang saya langsung tidak kenal.

Hidup Bergelumang Kegagalan


Sebelum itu lagi, saya sudah banyak kali mengalami kegagalan.

Antaranya adalah gagal menjual dengan baik di internet.

Dalam kehidupan sebenar, saya pernah gagal bercinta. Sungguh perit apabila orang yang kita cinta tiba-tiba beralih kepada orang lain untuk dia cintai.

Walau sudah banyak kali gagal tapi saya memilih untuk terus berusaha.

Maksud saya di sini adalah berusaha membina hidup yang lebih baik dari segi kerjaya, kewangan dan peranan diri sebagai seorang suami juga seorang anak lelaki sulung. Dalam agama Islam, anak lelaki sulung bertanggungjawap menjaga ibu dan bapa selagi hayat mereka masih ada.

Cabaran bagi saya sungguh besar kerana saya tinggal lebih 500 kilometer dari kediaman ibu bapa saya. Untuk menjaga mereka dengan baik, saya perlu balik kampung selalu dan berhubung dengan mereka selalu supaya tahu perkembangan semasa.

Buat masa ini, ibu bapa saya masih bekerja namun pada satu hari nanti, ibu bapa saya akan bersara. Pada saat itulah nanti peranan saya sebagai anak sulung amat diperlukan.

Sekarang ini 50% dari hidup saya dipenuhi oleh kegagalan. Saya hampir-hampir 'give up' kerana saya rasakan 'give up' itu lebih mudah dari 'keep moving'.

Namun, saya memilih untuk meletak matlamat baharu kemudian berusaha mencapainya dengan apa jua cara selagi halal dan selagi tidak mencederakan ataupun menyusahkan orang lain di sekeliling saya.

Beroleh Kerjaya Impian


Kerjaya saya telahpun musnah. Itulah kegagalan terbesar dalam hidup saya.

Namun, saya telah berjaya membina semula kerjaya saya.

Kerjaya baharu saya pada penghujung tahun 2015 itu pula berkaitan dengan bidang yang saya amat minati iaitu blogging, pemasaran media sosial dan pembangunan laman web cuma dalam industri yang berbeza, bukannya industri informasi teknologi sepertimana saya terlibat dengan iAwani.

Ketiga waktu bekerja, saya melaksanakan hal-hal yang saya amat minati iaitu menaip artikel, membaca mengenai optimasi enjin carian dan membuat pemasaran di media sosial.

Pada tahun-tahun lalu, saya melakukan itu semua kerana minat.

Pada hari ini, saya melakukan hal-hal itu semua kerana minat dan kerana kerjaya.

Majikan saya memberi amanah kepada saya untuk memasarkan produk dan perkhidmatan syarikat tempat saya bekerja di internet.

Itulah yang saya lakukan pada hari ini.

Saya bagaikan bermimpi kerana saya dibayar gaji untuk menulis blog, membuat pemasaran media sosial dan mengoptimasi laman web di enjin carian. Perkara itu saya buat kerana MINAT dan bukannya kerana duit.

Kini saya merasakan marketing adalah passion saya selain MotoGP dan sukan renang.

Saya cuba untuk meminati scuba diving tapi sukar kerana saya lebih menyukai swimming berbanding scuba diving.

Semua Bermula Dengan Matlamat


Hari ini saya mempunyai peluang untuk melakukan apa yang saya minati sebagai kerjaya.

Oleh kerana itu, saya memasang matlamat untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua yang saya usahakan.

Semua itu bermula dengan MATLAMAT.

Pada awal November 2015 ketika memulakan kerjaya baharu sebagai Webmaster sepenuh masa, saya menetapkan beberapa matlamat.

Matlamat-matlamat itu sungguh peribadi. Saya memilih untuk tidak ceritakan di sini kerana ia bersifat peribadi.

Dari matlamat-matlamat itulah saya berjaya mencapai beberapa kemajuan. Dari situ, saya berjaya menggapai kejayaan-kejayaan kecil yang sifatnya sungguh peribadi.

Walaupun kecil tapi saya amat gembira kerana berjaya mencapainya.

Itu semua terjadi kerana saya semat tekad untuk buat yang terbaik dalam apa jua yang saya usahakan.

Slogan 'keep moving' adalah pembakar semangat buat saya.

Sebenarnya, agak sukar untuk bangkit semula setelah ditimpa kegagalan kerana kita merasakan bahawa mengalah itu lebih senang berbanding terus berusaha kerana apabila mengalah, anda sudah tidak perlu melakukan apa-apa lagi.

Namun apabila anda tekad mahu mengubah keadaan, saya percaya anda akan berusaha lagi.

Kegagalan lalu hanyalah sejarah hidup. Ia sudah berlaku di masa lalu. Mungkin sehari lalu.

Mungkin sebulan lalu.

Mungkin sebulan lalu.

Mungkin juga setahun lalu.

Anda sudah tidak boleh putar masa ke belakang tapi anda boleh tentukan masa depan anda dengan usaha-usaha anda pada hari ini kemudian capailah level terbaik dalam proses berusaha.

Elak berusaha dengan ala kadar sahaja.

Sebaliknya, berusahalah sehabis daya. Biar kurang tidur dan biarlah kurang masa berhibur.

Biarlah susah-susah sekarang. Kelak nanti anda akan senang.

Bila sudah senang, kesenangan yang anda kecapi itu akan jadi kesenangan berpanjangan dan bukannya hanya kesenangan sementara sahaja yang singkat.
Kongsikan Di: