Kata-kata Semangat - Pentingnya Meletak Matlamat

blog-motivasi-hidup-kata-kata-semangat-shueqry-1

Kata-kata Semangat - Pentingnya Meletak Matlamat | Seringkali saya memperkatakan mengenai pentingnya meletak matlamat, tahukah anda kenapa? Kerana meletak matlamat bagi saya amat penting dalam hidup kita.

Hidup kita ini sentiasa berjalan ke depan mengikut aliran masa. Hidup kita tidak akan boleh 'reverse' sepertimana kereta yang boleh berjalan ke belakang.

Sebaliknya, hidup kita hanya sentiasa berjalan ke hadapan tak kiralah siapapun kita, apa jua yang kita lakukan dan tak kira berapa angka usia kita.

Kegunaan Matlamat


Matlamat adalah apa yang kita mahu capai.

Apabila ada matlamat, maka kita ada 'sesuatu' untuk kita capai. Kita ada kemahuan.

Sepertimana kata pepatah Melayu yang mengatakan di mana ada kemahuan di situ ada jalan, apa yang dikatakan itu sebenarnya betul. Saya mengiyakan hal ini kerana ia benar-benar berlaku dalam hidup saya.

Apabila kita ada kemahuan yang kuat, maka kita akan mencari cara bagaimana untu mendapat apa kita mahukan.

Sebagai contoh, cuba ambil situasi kita tidak ada duit kerana tidak ada kerja.

Pasti situasi itu sungguh menekan.

Akhirnya, kita berusaha mencari kerja supaya kita ada duit.

Apabila sudah ada duit, maka bolehlah kita beli makanan, beli pakaian dan beli barang-barang lain mengikut kemahuan kita.

Duit adalah matlamat kita manakala mencari kerja adalah cara untuk kita mendapat duit.

Apa pula yang terjadi apabila tiada matlamat?

Hidup kita akan tiada hala tuju.

Masa kita digunakan sekadar untuk menjalani hidup dan bukannya untuk berusaha mencapai sesuatu.

Jika kita berada dalam keadaan begini, bagi saya hidup begitu umpama hidup dalam zaman batu kerana kita bagun pagi sekadar untuk menikmati hari kemudian tidur lalu bangun lagi dengan keadaan yang sama.

Saya tidak mahu mengkritik hidup orang lain kerana bagi saya mengkritik itu satu perbuatan negatif kerana kita melihat lalu memfokus fikiran kepada nilai-nilai buruk pada orang lain.

Sebaliknya, saya memilih untuk memperbaiki diri sendiri berdasarkan hidup orang lain yang saya lihat.

Okay, kembali ke topik utama kita.

Matlamat membuat kita maju ke hadapan kerana kita tahu apa kita mahu capai. Apabila tiada matlamat, hidup kita tidak akan berubah langsung dan tidak akan memperlihatkan apa-apa perubahan.

Cubalah lihat hidup anda sekarang ini. Apa yang sudah anda ubah dan apa yang anda sudah dapat capai?

Soalan itu jugalah yang saya sering tanyakan pada diri sendiri.

Sejak beberapa bulan lalu, hidup saya tidak banyak berubah. Apabila jam 5 pagi, saya bangun untuk pergi ke tempat kerja.

Apabila sampai di tempat kerja, saya buat kerja kemudian apabila waktu bekerja habis, saya pulang ke rumah. Dari segi kerjaya, boleh dikatakan saya sudah ada kerjaya.

Tapi dari segi kewangan, tahap kewangan saya masih tidak berubah. Masih di tahap lama dan masih di angka lama.

Akhirnya saya menetapkan matlamat mahu mendapat sumber pendapatan sampingan untuk menambah pendapatan. Akhirnya, saya berusaha buat perniagaan secara separuh masa.

Apa yang saya lakukan?

Antaranya, saya mengambil upah membina laman web dan membina blog khusus buat orang-orang yang tidak ada asas langsung dalam aspek pembinaan laman web tapi mahu memiliki laman web sendiri.

Kenapa saya pilih itu? Sebabnya kerana hanya itulah satu-satunya perkara yang saya amat mahir melakukannya. Kedua, saya amat minat melakukannya. Jadi, itulah sebab kenapa saya memilih untuk mengambil upah membina laman web.

Kisah hidup saya merupakan contoh sebenar bagaimana matlamat memainkan peranannya dalam hidup kita. Matlamat saya dalam situasi tadi adalah mahu memperoleh pendapatan sampingan.

Setelah itu saya mendapat idea. Untuk memperolehi pendapatan sampingan, saya perlu jual perkhidmatan dan produk.

Buat masa ni, saya tiada produk tapi saya ada perkhidmatan iaitu membina laman web dan membina laman blog khusus buat mana-mana individu yang mahu memiliki laman web sendiri ataupun blog sendiri.

Saya tidak kaya melalui cara itu saya dapat memperolehi pendapatan sampingan dari aktiviti yang saya minati.

Semuanya bermula dari matlamat saya tadi iaitu mahu memperolehi pendapatan sampingan.


Ubah Hidup Anda


Baiklah. Tadi kisah hidup saya. Cukuplah sekadar di situ.

Saya bukannya pakar motivasi ataupun pakar pembangunan diri. Sebaliknya, saya seperti yang anda kenali hanyalah seorang lelaki biasa yang tekad mahu memperbaiki hidupnya dari segi kerjaya, kewangan dan peranan.

Sekarang, cuba fikir balik apa matlamat anda.

Tanya diri anda, apa anda mahu capai dalam hidup ini?

Apa anda mahu capai dalam minggu ni juga dalam bulan ini?

Jika tiada, ketahuilah bahawa itu tandanya hidup anda tidak banyak berubah. Anda akan selalu merasa bosan.

Andai kata anda selalu merasa bosan, itu petanda jelas anda seseorang yang tidak mempunyai matlamat.

Buatlah sesuatu.

Letakkanlah matlamat kemudian kejar matlamat itu.

Anda mungkin seorang yang bekerja, seorang pelajar, mungkin juga seorang suri rumah ataupun mungkin juga seorang isteri ataupun seorang suami.

Anda mungkin seorang ahli sukan, mungkin juga seorang ahli perniagaan, mungkin juga seorang eksekutif.

Dalam setiap peranan kita, terdapat hal-hal yang kita perlu perbaiki.

Kita perlu perbaiki sikap, kata-kata, perangai kita, mindset, tidakan dan respon kita terhadap sekeliling.

Dari situlah anda boleh dapat idea apa yang akan jadi matlamat anda.

Apabila kita tahu apa kita mahu capai, kita akan berusaha. Bila sudah berjaya capai, hidup kita akan berubah.

Jika tiada apa kita mahu capai maka hidup kita tidak akan berubah. Masih ditakuk lama.

Jika masih ada masalah, akibatnya masalah itu tidak akan selesai. Kita akan makin terperap di dalamnya.
Kongsikan Di: